Anugerah Wanita Ikon Malaysia 2026/27
Imelda Harris merupakan seorang chef selebriti, usahawan kulinari dan finalis MasterChef Malaysia yang telah membina nama sebagai pakar dalam bidang makanan, latihan profesional dan pembangunan industri kulinari. Beliau aktif sebagai Food Designer, perunding, penulis serta kurator restoran, selain terlibat dalam pelbagai program televisyen, siri web, demonstrasi masakan antarabangsa dan bengkel kulinari. Berpengalaman mengendalikan latihan korporat, pembangunan resipi serta program pembinaan pasukan berasaskan masakan, Imelda menggunakan makanan sebagai medium untuk memperkukuh komunikasi, kreativiti dan kepimpinan. Dengan personaliti yang mesra dan inspiratif, beliau terus memberi impak dalam pendidikan kulinari, pembangunan komuniti serta pemerkasaan bakat baharu dalam industri makanan negara. Di luar bidang kulinari, Imelda turut aktif dalam kerja kemanusiaan dan pembangunan masyarakat melalui penglibatan bersama Islamic Relief Malaysia dan ANSARA Malaysia. Beliau percaya bahawa kejayaan bukan sekadar tentang pencapaian peribadi, tetapi tentang kemampuan untuk berkongsi, memberi kembali dan membuka ruang kepada orang lain untuk berkembang. Melalui inisiatif Tadabbur Sisters, beliau turut menyokong usaha membina komuniti wanita yang saling menguatkan melalui ilmu, nilai, kerohanian dan kebersamaan. Bagi Imelda, makanan, kemanusiaan dan kepimpinan mempunyai satu titik temu iaitu memberi manfaat kepada manusia. Daripada dapur kepada komuniti, beliau terus membawa misi untuk memperkasa wanita, membina jaringan dan mencipta impak yang bermakna.
Saya percaya setiap wanita mempunyai cerita, kemahiran dan kekuatan yang mampu mengubah kehidupan yang bermula dari rumah seterusnya berkembang dalam komuniti yang akhirnya memberi impak kepada negara. Sebagai wanita Sarawak, saya mahu membawa semangat Keringkam Kenyalang yang halus pada rupa, kuat pada jiwa sebagai simbol wanita yang berani melangkah, mencipta peluang dan meninggalkan legasi. Kerana saya percaya wanita yang diperkasa bukan hanya mengubah hidupnya, dia mengubah keluarga, komuniti dan generasi.
“Dari Dapur Sarawak ke Pentas Dunia, Memperkasa Wanita, Aspirasi Malaysia”